Monday, June 4, 2012

Gerhana Bulan Separa 4 Jun 2012


Rakyat Malaysia dapat menyaksikan dua fenomena falak minggu depan iaitu gerhana bulan separa pada Isnin (4 Jun 2012) dan transit planet Zuhrah melintasi matahari pada Rabu (6 Jun 2012)

Yang Dipertua Persatuan Falak Syari Malaysia Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata gerhana bulan separa akan dapat dilihat di seluruh negara ketika waktu Maghrib.

"Fenomena transit planet Zuhrah pula amat menarik. Pada 6 Jun 2012, Zuhrah berada tepat di antara matahari dan bumi. Fenomena ini jarang berlaku. Transit seterusnya hanya akan berlaku 105 tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata dengan menggunakan binokular atau teleskop yang dilapisi penapis suria, orang ramai boleh melihat satu titik hitam kecil bergerak melintasi permukaan matahari.Fenomena itu boleh dilihat bermula dari terbit matahari hingga tengah hari, dan keseluruhan proses transit ini hanya boleh dilihat di pantai timur Sabah terutama di Sandakan.

Syed Kamarulzaman berkata sentuhan pertama apabila planet Zuhrah menyentuh cakera matahari berlaku pada pukul 6.10 pagi, sentuhan kedua pada pukul 6.27 pagi apabila Zuhrah masuk sepenuhnya ke dalam cakera matahari, sentuhan ketiga pada pukul 12.31 tengah hari apabila planet itu mencecah pinggir cakera matahari sebelum keluar dan sentuhan ke empat pada pukul 12.49 tengah hari apabila Zuhrah meninggal sepenuhnya cakera matahari.

Peluang lihat planet Zuhrah

GEORGE TOWN - Orang ramai terutama peminat serta pengkaji astronomi berpeluang melihat planet Zuhrah yang akan muncul merentasi matahari buat kali terakhir pada abad ini pada 6 Jun nanti.

Fenomena astronomi itu bakal disaksikan ramai penduduk dunia termasuk Malaysia selepas matahari terbit pada pukul 7.12 pagi, Rabu

Kurator Kanan Muzium dan Galeri Tuanku Fauziah Universiti Sains Malaysia (MGTF USM), Zolkurnain Hassan berkata, fenomena yang dipanggil transit planet Zuhrah itu akan berlanjutan sehingga 1 petang.

Kata beliau, pihaknya dengan kerjasama Kelab Astronomi USM akan mengadakan program khas ini bertempat di tiga lokasi utama di kampus universiti itu dengan menyediakan teleskop untuk memudahkan orang ramai menyaksikan pergerakan planet Zuhrah.

"Pelbagai aktiviti lain diadakan seperti pameran transit planet Zuhrah, ceramah astronomi, pertandingan fotografi dan lawatan ke planetarium," ujarnya.

Transit Zuhrah adalah fenomena astronomi yang mana planet ini bergerak antara matahari dan bumi.

Semasa transit, planet Zuhrah akan kelihatan seperti satu bintik berwarna hitam merentasi cakera matahari secara perlahan-lahan selama enam jam dan ia boleh disaksikan menerusi penuras suria atau kaca mata gerhana.


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua masjid dan surau mengadakan solat sunat “khusuf” berserta khutbah sempena gerhana bulan separa Isnin ini.

No comments: